PENTERNAKAN RUSA
Disini Anda Akan Mengalami Gegaran Cinta Si Rusa Comel Lagi Berkhasiat Untuk Kehidupan Anda..
PENGENALAN
Penternakan rusa merupakan suatu perusahaan yang masih baru di negara kita Malaysia. Tanggapan bahawa rusa adalah hidupan liar menjadikan rusa antara perusahaan yang masih kurang mendapat tempat sepenuhnya di hati para penternak, khususnya golongan belia negara. Keadaan ini menjadikan bekalan untuk produk rusa khususnya daging dan tanduk (antler/velvet) rusa sering mengalami masalah kekurangan stok. Apabila masalah ini timbul, maka harga pasaran semasa rusa sering mengalami kenaikan, khususnya rusa hidup (baka rusa).
Untuk mengatasi masalah ini, pihak kerajaan, khususnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negara amat menggalakkan para penternak dan golongan belia menceburkan diri dan memilih rusa sebagai haiwan ternakan utama. Penggunaan tanah yang tidak terlalu luas dan kajian mengesahkan bahawa rusa lebih cekap menukarkan rumput kepada daging jelas mengambarkan bahawa penternakan rusa menyediakan peluang perniagaan yang cerah pada masa hadapan.
Semoga maklumat yang terdapat dalam blog ini akan dapat menerapkan nilai keyakinan diri kepada penternak dan mereka yang mula ingin berjinak dalam bidang ini, khususnya golongan belia agar rusa menjadi pilihan utama dalam aktiviti pertanian mereka. Sekian, terima kasih.
Pengulas,
khoks
23 February 2012
TAKDIR SEORANG LELAKI
DARI SEORANG LELAKI BIASA KEPADA LELAKI YANG INGIN BERJAYA MELALUI PENTERNAKAN RUSA...
INILAH PERJALANAN DAN LIKU-LIKU YANG HARUS DILALUI...
INFO TERKINI MENGENAI SAYA
09 April 2009
PENGUMUMAN PENTING
TABIAT DAN HABITAT RUSA
- Rusa gemarkan kawasan yang sunyi seperti kawasan habitat asalnya dalam hutan (semulajadi). Persekitaran kawasan ternakan dengan mengekalkan sifat rimbanya yang redup dan sunyi adalah amat penting untuk penternakan rusa ;
- Rusa lebih kerap berjalan di tepi-tepi pagar, iaitu dalam lingkungan 4 kaki dari tepi pagar. Keadaan ini menjadikan rusa jarang untuk berada di tengah-tengah padok atau kawasan pemagaran. Tabiat yang gemar berjalan dalam lingkungan ini menjadikan rumput mudah mati akibat sering dipijak oleh rusa ;
- Untuk mengekalkan kawasan ternakan seperti rimba asal, pokok-pokok besar dan renek juga seharusnya dikekalkan dan jangan ditebang. Hal ini kerana pokok-pokok ini mampu menjadi pelindung kepada rusa untuk berteduh dari hujan atau panas kerana rusa tidak perlukan kandang ;
- Pokok-pokok yang ingin ditanam untuk tujuan berteduh dan makanan haruslah dibalut terlebih dahulu sebelum benar-benar matang kerana tabiat rusa yang gemar mengigit kulit kayu dan mengesel tanduk pada batang pokok boleh menyebabkan pokok tersebut mati sebelum mencapai tahap matang ;
- Persekitaran seperti anak sungai, parit kecil atau kolam kecil adalah amat digalakkan untuk disediakan kerana rusa gemar berkubang dan berendam dalam air, maka kemudahan ini perlu disediakan ;
- Perhubungan antara manusia (penternak) dan rusa perlu dipupuk seperti menyediakan pondok kecil dalam kawasan ragutan rusa dan penyediaan tapak makanan rusa ditempat-tempat khas agar masalah liar rusa dapat dikurangkan.
08 April 2009
KESIHATAN DAN PENYAKIT RUSA
Serangan Kutu :
Rusa yang diternak secara bebas khususnya mudah dihinggapi kutu terutama apabila tiba musim hujan pada hujung dan awal tahun. Masalah ini dapat diatasi dengan menyembur ubat kutu (Asuntol) dengan selang masa sekali dalam tiga minggu.
Sakit Mata :
Lebih kerap berlaku dalam kalangan anak-anak rusa. Antara puncanya ialah mata anak rusa mudah tercucuk rumput sehingga menyebabkan mata luka dan berair. Masalah ini dapat ditangani dengan rawatan awal melalui choramphenicol.
Luka-Luka :
Sering berlaku terhadap mana-mana rusa tanpa mengira peringkat umur. Antara puncanya ialah rempuhan pada pagar, akibat objek tajam seperti sisa dawai duri, kaca, zink, paku, besi atau akibat masalah gigitan kutu. Untuk menghindari masalah ini, objek tajam perlu dikeluarkan dan dibersihkan dari tempat tinggal rusa dan penggunaan gusanex spray atau negusunt powder mampu untuk menangani atau merawat luka pada badan rusa.
Bisul :
Bisul sering menyerang bahagian kaki, pangkal paha dan juga celah kuku rusa. Untuk mengetahui sama ada masalah ini menghantui kesihatan seharian rusa, pemerhatian diperlukan terutama apabila rusa berjalan.
Cacing :
Masalah kecacingan rusa hanya dapat diketahui melalui ujian najis, dimana analisa terhadap najis rusa di makmal perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Untuk mengatasi masalah ini, rawatan ubat cacing menggunakan synantic perlu diberikan dengan selang masa sekali dalam tiga bulan.
Parasitic :
Ectoperasite (kutu, tick dan lice), internal parasite dan longworm.
Bacterial :
Salmonelosis, tuberculosis ceptospirosis, brucellosis, H. S. pasteurellosis, pneumonia, johnnes disease dan meliodiosis.
Viral :
Malignant catarrhal fever, foot and mounth disease, dan bovire viral disease.
Proto Zoal :
Babesiosis, toxoplasmosis dan anaplasmosis.
KELEBIHAN DAN KEBAIKAN MENTERNAK RUSA
Antara faktor mengapa kita harus memilih rusa sebagai pilihan haiwan ternakan dari haiwan ternakan lain ialah :-
- Rusa mempunyai kadar melahirkan anak yang tinggi dalam setahun, iaitu antara 80% - 90% ;
- Anak rusa yang lahir mempunyai kadar risiko kematian yang rendah dalam setahun, iaitu antara 2% - 5% ;
- Rusa adalah haiwan ternakan yang tahan lasak dari cuaca semasa seperti hujan dan panas. Ketahanan ini sekali gus menjamin kepada pengurangan kos permulaan pelaksanaan projek penternakan rusa kerana rusa tidak memerlukan kandang seperti kambing atau lembu sebagai tempat berteduh. Namun begitu, rusa hanya perlukan pokok sebagai tempat berteduh dari panas mahupun hujan, khususnya pokok-pokok renek ;
- Rusa merupakan haiwan ternakan yang mempunyai daya ketahanan yang tinggi terhadap serangan penyakit jika dibandingkan dengan ternakan lain seperti ayam, malah ketahanannya hampir memastikan bahawa rusa tidak perlukan suntikan tambahan untuk memastikan kesihatannya terjamin. Namun begitu, langkah berjaga-jaga masih perlu diambil agar masalah penyakit tidak mengganggu pertumbuhan dan tumbesaran rusa ;
- Rusa juga merupakan haiwan ternakan yang tidak memilih rumput sebagai makanannya. Namun begitu, rumput seperti guinea grass (panicum maximum), green panic, brachiaria decumbens, brachiaria humidicola, napier dan guatemala adalah digalakkan untuk diberi makan kepada rusa. Selain itu, makanan tambahan seperti hampas soya, dedak, daun petai belalang, daun ubi, acacia, hibiscus, nangka, cempedak, lundai, ara, pisang, betik atau bijian palet yang dicampur dengan multi-vitamin juga boleh diberikan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu ;
- Mengikut kajian semasa yang dilakukan oleh badan-badan pembangunan pertanian negara, rusa juga ialah haiwan ternakan yang lebih cekap menukarkan rumput kepada daging jika dibandingkan dengan ternakan kambing atau lembu ;
- Dressing percentage rusa juga hanya dalam linkungan 60% ;
- Daging rusa adalah daging yang mempunyai lemak dan kolestrol yang rendah serta amat enak dimakan dan sering mendapat tempahan dari hotel-hotel terkemuka dan restoran-restoran tempatan mahupun luar negara ;
- Selain itu, perusahaan penternakan rusa juga merupakan perusahaan yang cepat berkembang jika dibandingkan dengan perusahaan penternakan lain ekoran kelahiran anak rusa yang tinggi dan kematian yang rendah. Malah, penternakan rusa juga tidak memerlukan kawasan tanah yang terlalu luas seperti bebiri atau lembu kerana penggunaan keluasan penternakan rusa amat bergantung kepada cara penternakan rusa dilakukan, sama ada secara ladang (lepas bebas) atau secara potong dan bawa (cut and carry) ;
- Membantu membangunkan industri ketiga negara, iaitu industri pelancongan negara. Penglibatan aktiviti pelancongan dalam penternakan rusa secara tidak langsung sebenarnya suatu kaedah yang mudah dalam mempromosikan penternakan rusa dan sekali gus meningkatkan ekonomi sara diri para penternak dan memajukan ekonomi negara ; dan
- Penternakan rusa juga mampu menyahut cabaran kerajaan dalam memelihara dan memulihara kadar pertumbuhan rusa agar masalah kepupusan rusa dapat diatasi ekoran masalah pemburuan haram yang berleluasa.
07 April 2009
PRODUK BERASASKAN RUSA
DAGING :
Digunakan secara meluas sebagai makanan yang mempunyai protein yang tinggi disamping mengandungi lemak dan kalori yang rendah. Daging rusa juga mempunyai pasaran yang luas melalui permintaan yang tinggi dari hotel-hotel terkemuka negara, restoran-restoran dan para pemborong tempatan mahupun luar negara.
KULIT :
Digunakan sebagai barangan perhiasan dan turut digunakan dalam pembuatan industri barangan kulit yang tinggi mutunya seperti beg, kasut, baju dan lain-lain produk.
ANTHER/VELVET (TANDUK) :
Digunakan secara meluas dalam bidang perubatan, khususnya ubat tradisi cina dan mendapat permintaan yang tinggi dari negara Asia dan Timur Tengah seperti Jepun, China, Korea, Arab dan Malaysia sendiri. Kegunaan velvet dalam perubatan juga terbukti secara saintifik dimana velvet menggalakkan spermatogenesis dan pengeluaran testosterone, pengeluaran sel darah merah (erothrocyte) dan hemoglobin, meningkatkan kekuatan dan kecerdasan badan dan juga menggalakkan pertumbuhan berat badan (pig and chicken). Tanduk rusa turut dijadikan sebagai barang perhiasan, terutama dalam menghiasi dinding kediaman.
TULANG, PENIS, EMBRYO, TESTES :
Digunakan dalam campuran bahan-bahan lain sebagai ubat-ubatan.
GIGI :
Dieksport keluar negara seperti Jerman untuk dijadikan sebagai barangan perhiasan yang dikenakan dengan berlian sebagai cincin, subang dan lain-lain.
LIGAMEN & TENDON :
Digunakan sebagai bahan perubatan untuk pasaran dalam dan pasaran luar negara seperti di negara jiran, terutama Thailand.
EKOR :
Digunakan sebagai barangan perubatan terutama untuk domestik pasaran dalam dan luar negara seperti Hong Kong.
06 April 2009
JENIS-JENIS RUSA



Timorensis (Exotic) :
Merupakan jenis rusa yang kerap diternak, khususnya negara Malaysia. Rusa ini sering menjadi pilihan kerana sifatnya yang mudah menyesuaikan diri pada keadaan persekitaran, khususnya iklim khatulistiwa negara. Selain itu, tanduknya (velvet) yang berguna dalam perubatan masyarakat cina sering mendapat permintaan yang tinggi dari kalangan pengamal perubatan. Akibat kurangnya penternakan rusa mengakibatkan kurangnya bekalan velvet kepada aktiviti perubatan dan ini membawa kepada kenaikan harga velvet dalam pasaran tempatan. Kadar kelahiran yang tinggi turut menjadikan temorensis sering menjadi pilihan utama penternak untuk diternak, malah kadar kematiannya juga rendah jika dibandingkan dengan jenis rusa lain seperti axis.
Sambar :
Sambar merupakan jenis rusa yang lebih besar badannya jika dibandingkan dengan temorensis dan mempunyai tanduk yang lebih menarik. Namun, sambar ialah rusa yang mendapat perlindungan dari pihak kerajaan Malaysia. Untuk menternak rusa jenis ini, lesen diperlukan dari pihak perhilitan negara kerana jenis ini jarang didapati dan kini masalah kepupusan menghantui rusa jenis sambar.
Axis-Axis :
Axis-Axis merupakan rusa yang sukar untuk didapati kerana harganya yang terlalu tinggi. Badan/bulunya yang berbintik merupakan antara tarikan utama rusa jenis ini dan faktor ini mempengaruhi harga pasaran rusa jenis axis-axis. Dianggarkan, harga seekor anak rusa jenis axis-axis mampu mencecah RM3000.00 keatas dan harganya yang tinggi mempengaruhi perkembangan penternakan rusa jenis axis-axis negara. Selain itu, jenis axis-axis ialah rusa yang lebih gemarkan iklim sejuk dan ini memyebabkan rusa jenis ini kurang bersesuaian untuk diternak dalam negara beriklim khatulistiwa seperti Malaysia. Kadar kematian anak yang tinggi jika dibandingkan dengan jenis timorensis juga membawa kepada masalah kurangnya penerokaan aktiviti penternakan rusa jenis ini. Namun begitu, zoo atau hotel-hotel terkemuka kerap menternak rusa jenis axis-axis sebagai daya tarikan kepada pengunjung dan ini jelas mengambarkan bahawa rusa jenis axis-axis lebih sesuai untuk diternak dengan tujuan membangunkan aktiviti pelancongan negara dari aktiviti pengeluaran produk rusa secara komersial.









